28 November 2011

Ma'assalamah Ramadhan,Ahlen ya Syawal



Alhamdulillah ,sedar tak sedar kita sekarang sudahpun berada di penghujung Ramadhan Al Karim. Madrasah Tarbiyah buat para pelajar deeniyah yang beragama Islam. Saat melangkah masuk hati terasa berdebar-debar untuk meneruskan langkah ke madrasah yang luarbiasa ini. Bukan calang-calang orang yang mampu melepasinya. Tempoh pengajian yang selama sebulan penuh benar-benar memberikan harapan buat si penagih cinta yang tercari-cari sebuah turning point untuk berubah. Mencipta satu reformasi.

Harapan yang tinggi disandarkan kepada sejauh mana keberjayaan madrasah ini membantu dalam mendidik jiwa kembali kepada fitrah yang asal,putih bersih. Namun dalam menjangkakan keberjayaan ini kita perlu melalui suatu proses yang sangat panjang. 11 bulan yang berbaki ibarat bukit tinggi yang perlu didaki. Tatkala sampai ke puncak ,itulah saat penentuan bagaimanakah hasil usaha amalan kita selama ini akan dinilai dalam bentuk yang lebih praktikal. Bayangkan sekarang kita sedang berdiri di atas puncak itu. Tertanya-tanya akan sebuah jawapan kepada persoalan yang sering bermain-main di minda, "apakah pada sesi kali ini aku akan berjaya?"


Apabila renungan minda melakar bayangan menerobos ke 11 bulan sebelumnya untuk mencari titik-titik putih sepanjang perjalanan, ia menyaksikan berbagai-bagai jahiliah yang melepak di sisi-sisi jalan. Memanggil-manggil agar turut bersamanya berdiri di situ, lalu menimbulkan sebuah pilihan yang berat antara syurga dan neraka. Pilihan di tangan kita. Buatlah keputusan sewajarnya atas pertimbangan akal, sekiranya nafsu berjaya dikalahkan maka berbahagialah dengan titik-titik putih yang bakal mewarnasucikan landasan kita.

Namun malangnya, kebanyakan daripada kita lebih mudah menjadi pak turut kepada jahiliah demi memenuhi keinginan nafsu yang tidak pernah kunjung habis. Lalu perjalanan tertangguh, kit tersangkut di situ bersama jahiliah tanpa peduli lintasan-lintasan manusia yang lalu-lalang di hadapan kita sampailah mereka hilang dari pandangan. Tidak sedar siapa ,apa, kenapa mereka terus-menerus berjalan tanpa henti. Kita terkebil-kebil.

Pap! Jahiliah menepuk bahu. Mengajak kita duduk bersama dalam satu halaqah untuk sesi ukhwah. Kita terjerat. Hasrat hati ingin menyambung perjalanan namun dek kerana sudah sayang, kita cair dengan pujuk rayunya. Mata hanya mampu memandang manusia-manusia yang lalu-lalang di sebalik secebis rasa kecewa, datang dan pergi. Ada yang menegur, malah tak kurang yang menasihati.Insaf hadir sekejap cuma. Nafsu lebih kuat barangkali. Allah, di mana kebesaranNya dalam hati kita?


Mungkin gelodak ini hanya sepanjang 11 bulan lampau.

Mungkin.

Esok hari diramalkan bakal menyambut satu syawal. Hari kemenangan buat pelajar-pelajar madrasah Ramadhan yang telah berjaya. Siapakah insan yang beruntung itu hanya dia dengan Allah sahaja yang tahu. Adakah Ramadhan ini diisi dengan ibadah atau adat seperti kebiasaannya pada bulan-bulan biasa, hanya dia dengan Dia yang tahu.

Masa untuk muhasabah kembali lagi.

*post ini ditulis pada bulan syawal yang lalu,tetapi baru sahaja dipublish atas sebab-sebab tertentu..semoga bermanfaat:)

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More